Description:
SEJARAH JABATAN PERTANIAN NEGERI KEDAH
Pendahuluan
Jabatan Pertanian Negeri Kedah telah membawa banyak perubahan dalam pembangunan pertanian Negeri Kedah Darul Aman. Semenjak penubuhannya pada tahun 1922 1,2, ia telah ditugaskan untuk melaksanakan kerja-kerja pengembangan pertanian bagi memajukan sektor pertanian di negeri ini. Dari tahun ke tahun, peranan dan aktivitinya kian berkembang dan organisasinya telah dan akan terus mengalami perubahan untuk menyediakan perkhidmatan kepada petani-petani dengan lebih cekap dan berkesan.
Jawatan Tertinggi Ketua Jabatan
Jabatan Pertanian Negeri Kedah Darul Aman mula dikenali dengan nama Pejabat Pekerjaan Tanam-Tanaman Kedah. Jawatan yang tertinggi adalah Pegawai Tanaman. Jawatan ini kemudiannya diwartakan dalam “ Gazette Notification ” kerajaan Negeri Kedah No. 258, bertarikh 13 Disember 1928 sebagai ketua Jabatan Pertanian dan juga berfungsi sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang tanaman kelapa. 3
Pada 17 Mei 1930 jawatan yang lebih tinggi dalam jabatan telah diwujudkan iaitu Kepala Pekerjaan Tanaman Kedah ( Principle Agricultural Officer Kedah). Jawatan ini telah diwartakan dalam “ Gazette Notification ” Kerajaan Negeri Kedah No. 190 tahun 1930 dan pertama kali disandang oleh W.N Sands (1930 – 1935).3,4,5
Apabila Y.T.M Tunku Yaacob ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah menjadi Kepala Pekerjaan Tanaman Kedah (1936 – 1949) 6, Y.T.M telah membuat permohonan kepada “ State Council ” pada 14 Mac 1936 untuk menukar nama jawatan ini kepada “State Agriculture Officer ”. Permohonan Y.T.M telah tidak diluluskan.7 Walaubagaimanapun pertukaran ini kemudiannya dipersetujui dan mulai 1 April 1946 nama jawatan ini ditukar menjadi “ State Agriculture Officer Kedah/Perlis ”. Mulai tarikh ini, aktiviti memajukan bidang pertanian di Negeri Perlis juga diletakkan dibawah pentadbiran Pejabat Pekerjaan Tanam-Tanaman, di Alor Setar. Sebelum ini ianya adalah dibawah pentadbiran Pejabat Tanah Negeri Perlis.8 Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pentadbiran jabatan di Negeri Kedah dan Perlis diasingkan dan jawatan ketua jabatan ditukar pula kepada “ State Agriculture Officer Kedah .”
Mulai tahun 1960, pentadbiran jabatan kembali diterajui oleh pegawai British. Pegawai berkenaan En. Mohd. Noor b. Wahab yang berasal dari Junjung, Kulim. Mulai waktu beliaulah Bahasa Kebangsaan digunakan dalam laporan-laporan tahunan jabatan. Jawatan yang tertinggi dalam jabatan telah dicatatkan sebagai Pegawai Pertanian Negeri.
Kemudian pada tahun 1971 iaitu pada masa En. Mohd. Tamin b. Yeop (Dato’) menjadi ketua jabatan, nama jawatan ini ditukar menjadi Pengarah Pertanian Negeri dan ianya kekal hingga sekarang.
Lokasi Ibu Pejabat Peringkat Negeri
Pada masa Y.T.M Tunku Yaacob menjadi Kepala Pekerjaan Tanaman Kedah barulah Jabatan mempunyai bangunan pejabatnya sendiri dimana sebelumnya segala kerja pentadbiran dibuat di pejabat kecil di dalam Pejabat Pelabohan, Tanjung Chali, Alor Setar dan kemudiannya di sebuah rumah di Kanchut yang disewakan untuk dijadikan pejabat. Bangunan Pejabat yanh baru ini berharga $21,500.00, terletak di Jalan Langgar dan siap untuk digunakan pada 9 April 1936. 9,10 Apabila Perang Dunia Kedua meletus, kerja-kerja pentadbiran dibuat dari rumah Y.T.M sendiri hinggalah tahun 1944 bila jabatan mendapat ruang untuk dijadikan pejabat di Old Court House. Walaubagaimanapun pada tahun yang sama, jabatan telah berpindah pejabat ke Bangunan Kerajaan di Jalan Raja.11 Pada bualn Mei 1986 ibu pejabat jabatan ini telah berpindah ke Telok Chengai.
Peranan Dan Aktiviti
Penubuhan Jabatan Pertanian Negeri Kedah Darul Aman pada tahun 1922 bermula dengan seorang pegawai tanaman, Raja Mahmud b. Raja Ali (1922 – 1924) 1 dan seorang pelayan pejabat .1,2 Peranan utama jabatan adalah untuk melaksanakan Enakmen Penanaman Kelapa melalui aktiviti pengembangan pertanian. Aktiviti ini kemudiannya dibantu oleh beberapa orang “ coconut inspectors ”.2
Oleh kerana tanaman padi juga sangat penting kepada Negeri Kedah Darul Aman sejak bertahun-tahun yang lalu, maka peranan jabatan juga ditumpukan kepada tanaman ini. Peranan untuk memajukan tanaman ini pada keseluruhannya dapat di bahagikan kepada tiga iaitu membuat penyelidikan, menyedia bekalan bahan tanaman dan memberi khidmat nasihat.
Mulai tahun 1930, jenis-jenis padi yang baik dari luar negeri seperti Nachin No. 10 dan No. 22, Siam No. 29, Radin No. 2, dan No. 13 telah diimport dan diuji kesesuaiannya serta dibuat perbandingan dengan jenis-jenis tempatan. Kerja-kerja penyelidikan ini dibuat diempat petak ujian padi iaitu di Jitra, Langgar, Batu 17 Jalan Sungai Petani dan Rantau Panjang.9
Pada bulan Mei 1930, jabatan telah membeli sekeping tanah di Telok Chengai seluas 35.78 ekar untuk dijadikan stesen Percubaan Padi.9 Selain daripada menjalankan kerja-kerja penyelidikan, stesen ini kemudiannya juga memainkan peranan menyedia bekalan benih padi.
Pada tahun 1931, dengan peruntukan sebanyak RM 2,574.00, jabatan telah menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan seluas 9 ½ ekar diatas sekeping tanah seluas 150 ekar yang dicadangkan untuk dijadikan Stesen Pertanian Gajah Mati.12 Dengan adanya kemudahan distesen ini, mulai tahun 1933, aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh jabatan berkembang pula kepada tanaman-tanaman lain selain daripada padi. Penyelidikan pertanian yang dijalankan disini adalah pemerhatian tentang pembajaan bagi keledek dan jagung.
Pada masa Y.T.M Tunku Yacob ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah menjada Kepala Pekerjaan Tanaman (1936 – 1949), aktiviti pertanian telah berkembang dengan pesatnya. Ini dapat dilihat dengan bertambahnya dua lagi stesen ujian padi iaitu di Batu 10 ¾ Jalan Sungai Petani – Alor Setar dan di Ulu Melaka, Langkawi. Pengedaran benih padi daripada jenis-jenis padi yang terpilih juga telah bertambah hingga mencapai 2545 gantang pada tahun 1935 dibandingkan dengan 364 gantang pada tahun 1933.10,13 Aktiviti khidmat nasihat juga turut diperluaskan lagi bila jabatan mengadakan kursus penanaman padi untuk murid-murid sekolah. Pada Januari 1938 seramai 8 murid sekolah darjah VI telah terpilih untuk mengikuti kursus ini di stesen Percubaan Padi Telok Chengai. Ceramah-ceramah telah diberikan oleh Y.T.M Tunku Yaacob, Mr. J.A.Baker (Pegawai Tanaman) dan En. Salim b. Mat Akib (Penolong Pegawai Tanaman).14,15 Pada tahun 1939 kursus baru tentang pertanian juga diberikan sekali setiap minggu kepada 11 murid darjah VII sekolah Sungai Korok, Alor Setar. Mereka juga diberi dua kali latihan praktik selama dua minggu tiap satu di stesen Pertanian Gajah Mati dengan disediakan tempat penginapan.16
Salah satu sebab membolehkan aktiviti jabatan berkembang adalah kerana bertambahnya bilangan kakitangan. Contohnya pada tahun 1936, bilangan kakitangan adalah 25 orang, tahun 1943 menjadi 32 orang dan tahun 1946 menjadi 51 orang.13,17,18 Pertambahan ini dapat dibuat kerana kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sedia untuk membiayai pelajar-pelajar yang pintar melanjut pelajaran ke Sekolah Pertanian Serdang. Diantaranya En. Salim b. Md. Akib, En. Mohd. Noor b. Wahab, En. Samad b. Osman yang semuanya berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pertanian dan ramai lagi terutamanya diperingkat perjawatan “ Assistant Agriculture Inspectors ”
Walaupun kemudahan perhubungan di Negeri Kedah Darul Aman pada masa itu masih belum sempurna, namun penyampaian hasil-hasil penyelidikan melalui aktiviti khidmat nasihat kepada petani-petani di kampung sudah dijalankan sejak tahun 1920 an lagi. Perjalanan ketempat-tempat di pendalaman selalunya akan mengambil masa beberapa hari. Selain daripada aktiviti khidmat nasihat, petani-petani juga boleh mengetahui tentang kemajuan pertanian dan hasil-hasil penyelidikan apabila jabatan mengadakan pertunjukan pertanian (agriculture show). Aktiviti ini yang juga melibatkan jabatan-jabatan lain, adalah dibuat dua tahun sekali. Pertunjukan pertanian yang pertama telah dibuah pada 10 -–1 Julai 1930 di English School, Alor Setar.9,19
Mulai tahun 1950, semua program yang dijalankan oleh jabatan adalah dirancang selaras dengan matlamat dan strategi yang ditetapkan. Matlamat jabatan pada masa itu adalah untuk meningkatkan taraf pertanian dinegeri ini.20 Strategi-strategi yang digunakan adalah :
1. Memaksimakan penggunaan tanah
2. Memperkenalkan “mixed farming system” dimana yang sesuai
3. Menyediakan bahan tanaman yang baik
4. Memperbaiki sistem pemasaran hasil-hasil pertanian
5. Mewujudkan hubungan yang rapat diantara petani dan jabatan dalam pelaksanaan khidmat nasihat yang lebih baik.
Pada tahun 1952, sebagai membantu aktiviti khidmat nasihat, jabatan telah menerbitkan risalah dalam tulisan jawi yang diberi nama Perkhabaran Tanam-Tanaman. Ia diterbitkan tiga bulan sekali dan diedarkan kepada petani-petani secara percuma. Penerbitan pertama adalah sebanyak 2,000 risalah. Oleh kerana sambutannya sangat menggakakan penerbitan berikutnya dibuat sebanyak 6,000 risalah.21
Sebagai mengemaskan lagi pentadbiran jabatan, pada 1 Januari 1953 daerah-daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman telah disatukan menjadi Wilayah Utara dan Wilayah Selatan. Setiap wilayah adalah diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Pertanian.22 Sistem Wilayah ini kemudianya dimansuhkan dalam tahun 1979 bila jawatan Kuasa Usaha Daerah dinaikkan daripada Pembantu Pertanian kepada Pegawai Pertanian. Dua daerah yang pertama mendapat Pegawai Pertanian adalah Sik dan Baling. Kini semua daerah mempunyai Pegawai Pertanian kecuali Daerah Yan.
Dengan pembukaan Stesen Pertanian Kejai Di Baling pada tahun 1955, aktiviti jabatan terus berkembang dengan memainkan peranan membekal bahan-bahan tanaman getah untuk Rancangan Tanaman Semula Getah, stesen seluas 2 ½ ekar ini kemudiannya ditutup apabila peranan membekal bahan-bahan tanaman getah diambil aleh oleh Lembaga Tanam Semula Getah.23 Akhirnya jabatan terus berhenti daripada terlibat dengan tanaman ini mulai tahun 1964.24
Pada tahun 1961, jabatan mula mendapat peruntukan pembangunan pertanian untuk melaksanakan rancangan-rancangan subsidi dalam membantu petani-petani. Rancangan subsidi yang pertama adalah Rancangan Subsidi Baja Padi dengan peruntukan sebanyak RM 344,000.00. Pihak petani adalah dikehendaki membayar 60% daripada harga baja-baja padi manakala 40% lagi adalah dibayar oleh jabatan.25
Mulai tahun 1961 juga, jabatan telah dipertanggung-jawabkan untuk menubuhkan persatuan-persatuan peladang. Dalam tahun yang pertama, jabatan berjaya menubuhkan 34 buah persatuan peladang dengan 1191 orang ahli. Empat (4) buah persatuan peladang telah didaftarkan. Yang pertama didaftarkan adalah Persatuan Peladang Kg. Belat, Mukim Rambai, Daerah Kota Setar.25
Kerja-kerja berkaitan dengan persatuan peladang ini berterusan hingga En. Mohd. Tamin b. Yeop (Dato’) menjadi Pegawai Pertanian Negeri (1966 – 1977). Kemudian apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilancarkan pada 1 Julai 1970, kawasan pembangunan pertanian di Negeri Kedah Darul Aman telah terbahagi kepada dua kawasan iaitu kawasan MADA dan kawasan luar MADA. Kawasan perkhidmatan jabatan kini tertumpu ke kawasan Luar MADA sahaja.
Walaupun keluasan kawasan perkhidmatan jabatan berkurangan tetapi beban kerja yang dipertanggungjawabkan sebenarnya adalah kian bertambah. Ini dapat dilihat melalui pertambahan peruntukan pembangunan pertanian yang diluluskan setiap tahun, terutama pada masa En. Qamaruz Zaman b. Hj. Ismail (Dato’) menjadi Pengarah Pertanian Negeri (1977 – 1981). Dari ilham beliau sendiri, jabatan telah melaksanakan Prpgram Baik Pulih Kampung. Konsep pembangunan pertanian secara teratur mengikut kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini kemudiannya telah dicontohi oleh negeri-negeri lain dan diseragamkan olah Jabatan Pertanian peringkat ibu pejabat di Kuala Lumpur dengan nama Rancangan Baik Pulih Dusun (RBPD).
Pada masa En. Qamaruz Zaman b. Hj. Ismail (Dato’) menjadi Pengarah Pertanian Negeri, jabatan juga telah ditugaskan untuk menubuhkan Sistem Latihan dan Lawatan (Sistem 2L). Sistem ini memainkan peranan memindahkan teknologi pertanian kepada petani-petani dengan lebih berkesan serta membantu petani-petani dengan lebih berkesan serta membantu petani-petani menyelesaikan segala masalah pertanian. Setelah dibuat persediaan yang perlu maka sistem 2L telah dilaksanakan bermula dengan daerah Pendang pada tahun 1978.
Oleh kerana ekonomi negara kurang memuaskan, maka pada masa En. Hassan b. Lebai Mat menjadi Pengarah Pertanian Negeri (1982 hingga kini) peruntukan pembangunan pertanian telah dikurangkan oleh kerajaan. Keadaan ini mendorongkan jabatan untuk mengubahcorak pendekatan dalam pelaksanaan segala aktiviti jabatan dimana konsep Ladang Berkelompok mula diperkenalkan. Konsep ini telah mencapai kejayaan yang sangat menggalakan terutama bagi tanaman padi dan Projek Ladang Bimbingan Tanaman Padi di beberapa daerah di negeri ini kemudiannya telah mencapai matlamat untuk meningkatkan pencapaian petani-petani.
Kini Jabatan Pertanian Negeri Kedah Darul Aman yang beribupejabat di Telok Chengai mempunyai 246 orang pegawai dan kakitangan. Ia bukan sahaja memainkan peranan untuk memajukan sektor pertanian di negeri ini melalui khidmat pengembangan pertaniannya malah terus berusaha untuk meningkatkan lagi pendapatan petani-petani. Ini jelas dapat dilihat melalui usaha-usaha jabatan memperkenalkan projek-projek baru seperti Projek Cendawan, Projek Lebah Madu, Projek Semaian Mini, Projek Siswazah Tani dan lain-lain lagi.
Penutup
Jabatan Pertanian Negeri Kedah Darul Aman telah mengalami banyak perubahan dari segi peranan, aktiviti dan organisasinya. Berbagai corak pendekatan telah digunakan dalam pelaksanaan projek-projek jabatan. Daripada pengalaman dalam tahun-tahun yang lalu dan melalui beberapa seminar dan bengkel pada masa akan datang, pegawai dan kakitangan jabatan ini akan terus mengatur strategi yang sesuai dalam menyediakan perkhidmatan kepada petani-petani dengan lebih cekap dan berkesan.
|